Ramai ibu ayah pernah lalui situasi ini — anak batuk berpanjangan, kadangkala hilang sekejap tetapi datang semula. Ada yang batuk setiap kali habis selsema, ada yang batuk kuat waktu malam sahaja, dan ada juga yang tak nampak sakit lain pun — cuma batuk.
Apa sebenarnya yang berlaku, dan bilakah ibu ayah perlu mula ambil serius?
Kenapa Anak Kecil Kerap Batuk?
Sistem imun kanak-kanak, terutamanya yang berumur 1–6 tahun, masih sedang membina pertahanan. Maka, mereka mudah dijangkiti virus — terutama jika sudah mula ke tadika atau pusat jagaan.
Namun, tidak semua batuk datang dari jangkitan biasa. Kadangkala ada punca lain yang menyebabkan batuk berpanjangan atau berulang-ulang.

Antara Punca Umum Batuk yang Tak Sembuh-Sembuh
1. Selsema atau Jangkitan Virus yang Berulang
Ini paling biasa berlaku. Demam biasanya reda dalam 2–3 hari, tetapi batuk dan hidung berair boleh berlarutan hingga seminggu atau lebih. Anak mungkin kembali aktif di antara episod, tetapi akan batuk semula apabila dijangkiti semula.
2. Alahan Hidung dan Lendir ke Tekak
Anak yang ada alahan seperti resdung kanak-kanak (allergic rhinitis) akan mengalami hidung tersumbat atau berair hampir setiap hari. Lendir ini boleh meleleh ke belakang tekak — menyebabkan batuk, terutama waktu malam.
3. Asma Kanak-Kanak atau Batuk Berpunca Dari Alergi
Ada kanak-kanak yang tidak semput tetapi hanya batuk. Batuk jenis ini biasanya berlaku pada waktu malam, semasa bermain, selepas selsema atau jika terdedah kepada habuk. Jika anak juga ada ekzema atau alahan makanan, ini menambah risiko.
4. Persekitaran yang Mencetuskan Batuk
Asap rokok, jerebu, debu, cuaca sejuk dan bulu haiwan boleh jadi pencetus batuk bagi anak yang sensitif.
5. Refluks (GERD)
Pada bayi dan anak kecil, asid dari perut boleh naik ke saluran makanan dan menyebabkan batuk, terutama selepas makan atau menyusu. Biasanya disertai muntah atau tersedak.
6. Jangkitan Serius
Kadang-kadang batuk disebabkan jangkitan seperti pneumonia, sinusitis atau jangkitan telinga. Tanda-tanda termasuk demam tinggi, nafas laju, sakit dada atau anak tampal telinga dan meragam.
Apa Yang Ibu Ayah Boleh Buat di Rumah?
✔ Pantau – Bila batuk mula? Bila jadi lebih teruk? Ada demam? Semput?
✔ Pastikan anak minum air secukupnya – Air bantu cairkan kahak dan melegakan tekak.
✔ Guna semburan air garam jika hidung tersumbat.
✔ Gunakan madu asli (jika anak sudah lebih umur 1 tahun) untuk legakan tekak.
✔ Elakkan pencetus seperti habuk, asap rokok, bau pewangi kuat atau bulu kucing.
❌ Jangan beri ubat batuk tanpa nasihat doktor. Ubat batuk tidak digalakkan untuk kanak-kanak bawah 2 tahun dan penggunaannya pun terbatas untuk yang lebih besar.
Bila Perlu Jumpa Doktor?
- Batuk melebihi dua minggu
- Batuk disertai demam tinggi, semput, nafas laju atau anak nampak letih
- Batuk berulang tanpa anak sembuh sepenuhnya antara episod
- Anak tidak tidur lena atau terganggu aktiviti harian kerana batuk
Kesimpulan ringkas:
Batuk yang kerap bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, walaupun anak nampak aktif. Kadangkala ia hanya selsema biasa, tetapi ada kalanya ia petunjuk awal kepada masalah pernafasan seperti asma atau alahan. Pemeriksaan awal boleh bantu elakkan rawatan yang lambat atau salah faham tentang puncanya.
Dr Ana Paeds
Pakar Kanak-Kanak
Menilai kesihatan anak secara menyeluruh — bukan hanya simptom, tapi juga corak, persekitaran dan faktor risiko.